PETALING JAYA: Setelah pengisytiharan darurat, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap gagal menguruskan negara ketika dilanda pandemik Covid-19.
Dalam sesi temubual Reset Malaysia, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dengan kuasa darurat, PN sepatutnya mempunyai kuasa untuk mengawal dan menguruskan negara dengan lebih menyeluruh.
“Selepas diisytihar darurat, kes harian sekitar 2,000 telah meningkat kepada 9,000. Ini menunjukkan kerajaan tidak mampu untuk mengurangkan kes Covid-19 walaupun mendapat kuasa yang lebih.
“Bila ada darurat, kerajaan mempunyai kuasa luar biasa kerana kerajaan mempunyai kuasa mengatasi perlembagaan dan juga melebihi undang-undang. Darurat ini pada mulanya dikatakan bertujuan untuk mengatasi Covid-19,” katanya dalam temu bual itu.
Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, kerajaan hari ini sepatutnya bijak menangani masalah Covid-19 dengan mengenal pasti punca peningkatan kes serta tidak mengulangi prosedur yang sama sedangkan tidak berkesan.
“Tindakan kerajaan setakat ini telah gagal kerana masalah paling besar kita alami adalah jangkitan daripada Covid-19 yang kian meningkat.
“Apabila kita gagal, kita perlu kaji dan fikirkan cara mengatasi kegagalan itu. Kerajaan ini tidak ada sebarang idea dan cara untuk menangani masalah namun sebaiknya menyediakan jadual waktu,” jelasnya.
Pada Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.
Dalam temu bual yang sama, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, kerajaan ketika ini tidak mengambil kira kesan pandemik kepada struktur negara serta impaknya kepada rakyat.
“Kerajaan juga tidak berjaya membanteras Covid-19 malah tidak mengkaji daripada awal bagaimana kesan Covid-19 kepada sosial, politik dan ekonomi. Kerajaan sedang menangani pandemik Covid-19 dengan begitu cerca-merba.
“Reset Malaysia ini amat diperlukan. Sudah tiba masanya untuk Malaysia dibaik pulih secara menyeluruh. Parlimen perlu dibuka kerana jelas Parlimen ditutup bukan kerana risau ahli-ahli Parlimen dijangkiti Covid-19 kerana mereka semua sudah divaksin,” jelasnya.