SHAH ALAM: Kerajaan perlu segera memanggil semula petugas kesihatan yang dihantar ke negeri lain bagi membantu kakitangan sedia ada mengendali kes Covid-19 di Lembah Klang.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, langkah itu perlu dilakukan supaya jumlah kakitangan untuk mengendalikan kes tersebut mencukupi pada setiap masa.
“Peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang beberapa hari ini sangat membimbangkan dengan setiap hari jumlah kes jangkitan harian meningkat.
“Oleh demikian, sudah tiba masanya kerajaan memanggil semula petugas kesihatan yang mereka hantar di beberapa buah negeri bagi mengendalikan kes Covid-19, kembali semula ke Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan seramai 8,167 pesakit Covid-19 dirawat di hospital di Lembah Klang.
Beliau berkata, majoriti pesakit yang dirawat di hospital adalah pesakit kategori 4 iaitu sebanyak 3,473 pesakit dan pesakit kategori 5 (826 pesakit).
Menurutnya, kembalinya petugas kesihatan mungkin mengurangkan beban kakitangan kesihatan di dua negeri ini sekaligus dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam menguruskan kes Covid-19. – UTUSAN ONLINE