fbpx

23 September 2021, 7:38 am

  TERKINI

Saudi sumbang 1 juta dos vaksin, 4.5 juta unit alat perubatan kepada Malaysia

Kapsyen: ANTARA sumbangan peralatan perubatan yang dipunggah keluar dari sebuah pesawat Saudia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. – FB HISHAMMUDDIN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 4.5 juta unit peralatan perubatan pelbagai jenis dan sejuta dos vaksin keluaran AstraZeneca disumbangkan kerajaan Arab Saudi secara percuma kepada Malaysia.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sumbangan itu dihantar menerusi tiga buah pesawat Saudia Airlines yang tiba pada semalam dan hari ini.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Arab Saudi atas tindakan amat responsif ini,” katanya menerusi kenyataan.

Ia ujarnya, diserahkan hanya selang beberapa hari Raja Salman Abdulaziz Al Saud sendiri menitahkan King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action menyalurkan sumbangan.

Keprihatinan berterusan baginda yang juga Penjaga Dua Masjid Suci itu membantu Malaysia menangani cabaran Covid-19 ketika ini benar-benar membuktikan tekad kerajaan Arab Saudi.

Secara keseluruhan nilai kesemua peralatan itu dianggarkan 18.75 juta riyal (RM21.1 juta) yang antaranya meliputi tiga juta unit pelitup pembedahan dan sejuta unit pelitup N95/K95.

Turut disumbangkan ialah 500,000 sarung tangan dan 10,000 alat perlindungan peribadi selain 319 unit pemampat oksigen, 150 unit ventilator nadi mudah alih dan 150 katil elektrik.

“Ini bukan kali pertama malahan Arab Saudi antara negara terawal menyalurkan lapan juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia sekitar Mei pada tahun lalu,” kata Hishammuddin.

Setakat ini jelasnya, negara itu merupakan penyumbang terbesar bantuan tujuan Covid-19 kepada Malaysia dan beliau berdoa hubungan baik itu berkekalan pada masa akan datang.

Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, beliau berterima kasih kepada Raja Salman, Putera Mahkota Mohammed Salman dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud.

Terdahulu, Hishammuddin memuat naik gambar-gambar ketibaan pesawat Saudia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menerusi akaun sosial Facebooknya. – UTUSAN ONLINE

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN