PETALING JAYA: Ruangan tempat letak kereta Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan kini dijadikan Zon Pengurusan Bencana bagi menampung keperluan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima untuk kawasan Lembah Klang.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, tempat letak kereta tersebut sememangnya ruang yang telah digazetkan untuk zon terbabit dengan direka khas semasa awal pembinaan hospital berkenaan bagi menghadapi kes-kes bencana kimia dan biologi.
Katanya, pembinaan tersebut disokong kemudahan sedia ada yang telah terbina di kawasan berkenaan termasuk bekalan elektrik, oksigen, vacum ports dan bantuan sokongan perubatan yang mampu mengendalikan pesakit dengan kapasiti bersesuaian.
“Persiapan Zon Pengurusan Bencana yang siap sepenuhnya turut dibantu Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Ia akan beroperasi sepenuhnya untuk menerima pesakit Covid-19 bagi kategori empat dan lima pada hari ini juga.
“Zon ini berkeupayaan menyediakan 50 katil tambahan ini diletakkan di bawah pemerintahan Pegawai Memerintah hospital ini, Brigedier Jeneral Datuk Dr. Rosman Ab. Rahman dan Leftenan Kolonel Dr. Mohamad Azlan Arrifin sebagai Komander Operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular video yang memaparkan ruangan tempat letak kenderaan di hospital berkenaan yang kini dipenuhi katil dipercayai dijadikan tempat rawatan sementara untuk pesakit Covid-19.