RM1.71j diperuntuk bantu penggiat industri pelancongan Negeri Sembilan

RM1.71 juta diperuntuk bantu penggiat industri pelancongan Negeri Sembilan

PANTAI Telok Kemang di Port Dickson juga menerima kesan dengan ketiadaan pengunjung ekoran penularan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan pelaksanaan PKP serta larangan rentas negeri dan daerah diambil oleh kerajaan. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini memperuntukan lebih RM1.71 juta dalam bentuk tunai one-off, diskaun dan rebat bagi membantu penggiat industri pelancongan di negeri ini yang terjejas sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang melanda.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan dan insentif tersebut disalurkan kerana kerajaan negeri menyedari sektor pelancongan menghadapi cabaran besar ekoran kekurangan pelancong dan pengunjung sekali gus mengakibatkan kekangan kewangan bagi menampung kos pengoperasian.

Jelas beliau, bantuan one-off sebanyak RM2,000 disalurkan kepada 20 persatuan pelancongan yang berdaftar di negeri ini serta kepada pengurusan rumah inap atau homestay yang masih aktif dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Bantuan ini dijangka akan memanfaatkan hampir 20 buah persatuan yang berdaftar di Negeri Sembilan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM40,000 dan tujuh buah pengurusan rumah inap yang masih aktif dalam Negeri Sembilan dengan bantuan peruntukan adalah sebanyak RM14,000,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang akhbar secara dalam talian yang diadakan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan negeri di sini hari ini.

Tambah Menteri Besar, bantuan tunai one-off sebanyak RM250 turut disalurkan kepada pemandu pelancong di negeri ini yang berdaftar dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Bantuan ini akan memanfaatkan sejumlah 91 orang pemandu pelancong di bawah Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Sembilan (NSTGA). Bantuan ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM22,750,” katanya lagi.

Jelas beliau, diskaun atau rebat cukai taksiran dan lesen perniagaan bagi segmen penginapan dan hotel juga akan diberikan sebanyak 50 peratus.

“Diskaun atau rebat cukai taksiran sebanyak 50 peratus diberikan bagi penggal kedua tahun 2021 kepada segmen penginapan dan hotel. Insentif ini dijangka akan melibatkan peruntukan kerajaan negeri lebih RM1.51 juta.

“Diskaun atau rebat bagi fi atau lesen perniagaan segmen penginapan dan hotel sebanyak 50 peratus diberikan bagi tahun 2022. Insentif ini dijangka akan melibatkan peruntukan kerajaan negeri lebih RM123,000,” katanya lagi.

Aminuddin menjelaskan, kedua-dua diskaun dan rebat ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 150 buah hotel dan penginapan di seluruh negeri ini.

“Semua bantuan tunai one-off ini akan diselaraskan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) manakala bagi diskaun dan rebat cukai taksiran serta fi lesen perniagaan akan diselaraskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Kerajaan negeri berharap bantuan dan insentif ini dapat mencerminkan manifestasi pentadbiran ini bersama semua pihak dalam sektor pelancongan yang menerima impak pandemik Covid-19 ini,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN