Risau pula kalau ibadah korban 'dibatalkan' - Utusan Malaysia

Risau pula kalau ibadah korban ‘dibatalkan’

AZIZI Mustafa memberi makan kepada lembu ternakannya di Kampung Balik Bukit, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penternak di negeri ini bimbang sekiranya kebenaran melaksanakan ibadah korban ditarik balik oleh pihak berwajib susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Seorang penternak, Azizi Mustafa, 36, berkata, keresahan itu ada asasnya setelah pelbagai syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Verterinar (JPV) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terpaksa dipenuhi semata-mata untuk mendapatkan kelulusan penyembelihan.

Menurutnya, dia menggunakan duit poket sendiri sebanyak RM10,000 bagi menaik taraf tempat sembelihan seperti menyediakan saluran darah, sistem pengaliran air, singki dan tempat kutipan pembahagian.

“Saya juga telah menerima deposit hampir RM30,000 daripada peserta korban. Segala-galanya telah lengkap dan hanya menunggu hari korban.

“Jika kebenaran yang diberikan sebelum ini ditarik balik, ia hanya meletakkan penternak dalam situasi yang sukar kerana terpaksa menjaga haiwan ternakan yang semakin bertambah dan deposit perlu dipulangkan kepada peserta,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Melaka membenarkan ibadah korban dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kecuali di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan dan MKN.

Tambah Azizi, selepas ibadah korban dibenarkan, dia menambah tempahan sebanyak 35 ekor lembu lagi berbanding lima ekor sahaja sebelum ini.

Katanya, waktu ini sahaja dia berpeluang menambah pendapatan selepas terjejas teruk kesan daripada larangan penganjuran majlis perkahwinan dan akikah serta penutupan restoran.

“Saya lega selepas ibadah korban dibenarkan dan pengumuman itu tepat pada masanya. Ini kerana ada SOP yang disenaraikan memerlukan persediaan awal dan mengambil masa untuk diluluskan.

“Namun, saya sendiri terkejut apabila kes harian melonjak tinggi dengan Hari Raya Aidiladha tinggal seminggu sahaja lagi. Kalau boleh teruskan ibadah korban meskipun kes tidak menunjukkan penurunan ketara,” pintanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya