KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan RichWell (RichWell) hari ini menyumbang sekotak makanan keperluan asas kepada 400 keluarga yang memerlukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria & Flat Bukit Angkasa.
Menurut Timbalan Presiden Kanan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Radz Mohd, sumbangan tersebut diperolehi daripada usahawan-usahawan dan orang ramai yang bersama dengan nilai-nilai dibawakan kami bagi memberikan manfaat kepada orang lain.
Katanya, RichWorks terpanggil apabila melihat kesusahan dialami anggota masyarakat di luar sana hingga ada yang kibarkan bendera putih bagi mendapatkan bantuan segera.
“Sehubungan itu, pengagihan sumbangan kilat ini merupakan peringkat pertama selepas dilancarkan sendiri oleh Pengasas RichWorks dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman pada Ahad lalu.
“Sumbangan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga terkesan setelah diberhentikan kerja, bisnes terpaksa ditutup, tidak dapat bekerja disebabkan operasi ditutup menyebabkan kehilangan punca pendapatan,” katanya ketika ditemui di PPR Pantai Ria, sebentar tadi.
RichWell merupakan pertubuhan kebajikan di bawah RichWorks di mana ia mensasarkan bantuan kemanusiaan, kebajikan dan kemasyarakatan sejak 2008 lagi.
Antara aktiviti yang telah dijalankan seperti memberi bantuan Hari Raya pada golongan asnaf, sumbangan makanan untuk barisan hadapan dan sumbangan ibadah korban.
Tambah Radz, alhamdulillah RichWell berjaya mengumpulkan sebanyak RM45,000 setakat ini.
“Terima kasih atas kerjasama semua pihak termasuk Datuk Rosyam Nor bersama St Rosyam Mart Sdn. Bhd. yang membantu dari segi barangan dan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) agar terus diagihkan kepada keluarga yang memerlukan.
“Pengagihan sumbangan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menyalurkan sumbangan yang diterima untuk keluarga-keluarga yang memerlukan ketika ini,” jelasnya.
Radz memberitahu, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul sumbangan berjumlah RM1 juta bagi bantu kira-kira 10,000 keluarga terjejas.
“Kami mahu menunjukkan bahawa usahawan bukan hanya memikirkan soal bisnes dan keuntungan semata-mata sebaliknya memberi dan menyumbang kembali kepada masyarakat seperti selalu ditekankan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” ujarnya lagi.
Bagi usahawan dan orang ramai yang mahu menyumbangkan bersama-sama RichWell, bolehlah melayari laman web richworks.com/RichWellBantu.