PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ekoran pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi memoir Tommy Thomas.
Ini kerana menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii, hanya dengan RCI menjadi satu rahsia terbuka berhubung dakwaan campur tangan politik dalam institusi kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan memerintah.
“Di dalam memoir Thommy Thomas yang dijual pada awal tahun, ia banyak menimbulkan serta membongkar cerita di sebalik pendakwaan banyak kes semasa beliau menjadi Peguam Negara.
“Negara ketika pemerintahan PH memerlukan mereka yang berani bertindak dengan kepercayaan yang bertentangan dengan norma kehidupan manusia.
“Sekiranya nak mendakwa tanpa asas, mungkin inilah orangnya, sekira nak mencipta tuduhan yang samar-samar keasliannya, mungkin ini juga orangnya malah sekira nak mengugurkan kes-kes kepada kroninya, mungkin ini tepat pada orangnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Razlan, dengan adanya RCI itu juga dapat memperbetul persepsi negatif yang menyelubungi tindakan-tindakan lampau pemimpin yang terlibat, sekali gus dapat mengangkat semula martabat sistem perundangan negara.
“Kerosakan sistem perundangan negara jelas berlaku semasa PH memerintah, mereka menggunakan undang-undang bukan hanya untuk mendakwa, malah mereka menggunakan undang-undang untuk mewujudkan persepsi buruk kepada lawan.
“Usaha pembunuhan karektor musuh terus berlaku, malah Latheefa Koya boleh berkongsikan audio secara terbuka kerana terdesak untuk membunuh karektor lawan mereka.
“Perundangan negara diletakkan dalam keadaan cerita kartun, cerita dongeng yang disensasikan untuk menjatuhkan hukuman sebelum pengadilan,” ujarnya.
Tambah Razlan, semua perkara tersebut telah dinilai rakyat dan sememangnya ada yang percaya dengan kebencian yang mereka ciptakan.
Namun, ramai juga mencaci mereka kerana bertindak di luar batasan, ujarnya. – UTUSAN ONLINE










