Pusat sembelihan: 'Langgar SOP korban, kita tarik permit' - Utusan Malaysia

Pusat sembelihan: ‘Langgar SOP korban, kita tarik permit’

TOSRIN JARVANTHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menarik semula permit beroperasi pusat sembelihan yang telah diberikan kebenaran untuk menjalankan ibadah korban sewaktu perayaan Aidiladha tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, hal itu kerana beliau mendapati terdapat pusat sembelihan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pusat sembelihan korban Aidiladha di Johor diingatkan untuk menjaga tahap kebersihan dan SOP ibadah korban yang telah ditetapkan kerajaan.

“Dalam lawatan kerja saya ke 15 pusat sembelihan, terdapat pusat sembelihan yang tidak mematuhi SOP dikehendaki seperti kolam takungan darah, air kumbahan dan juga kebersihan pusat sembelihan.

“Mereka yang berkenaan telah diberi peringatan dan amaran terakhir, kerajaan negeri tidak teragak-agak menarik semula atau membatalkan lesen dan permit sembelihan yang telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan proses sembelihan, melapah dan membungkus daging korban sempena sambutan perayaan Aidiladha di Johor pada tahun ini akan dilaksanakan di 164 buah pusat sembelihan berdaftar di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Tosrin berkata, walaupun operasi pusat sembelihan sempena Aidiladha disifatkan sebagai sementara, namun pemilik premis tidak seharusnya memandang remeh SOP ditetapkan dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

“Johor tidak mahu berlakunya kluster korban di mana-mana premis pusat sembelihan yang telah dibenarkan untuk beroperasi.

“Selain itu, pusat sembelihan juga diingatkan agar semua penyembelihan korban memiliki sijil sah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan menyegerakan proses pemberian suntikan vaksinasi Covid-19 terhadap ahli jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri ini.

Tosrin berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semalam.

“Mesyuarat bersetuju dan membuat ketetapan semua imam, bilal, noja dan ahli jawatankuasa masjid dan surau di Johor diberi vaksin dalam kadar segera.

“Ini bagi memastikan tidak ada kluster agama dan juga untuk penambahbaikan SOP masjid dan surau di seluruh Johor,” katanya.

Tambah beliau, sehubungan itu semua Pejabat Kadi Daerah telah diminta menghantar senarai nama pengurusan masjid dan surau ke Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya