KULAI: Polis menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kejadian merusuh termasuk menggunakan senjata parang di tepi jalan Lorong 4, Kulai Besar, di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu yang mengatakan anaknya berusia 24 tahun mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan tapak kaki akibat diserang sekumpulan lelaki.
Katanya, pengadu dimaklumkan perkara itu setelah menerima panggilan telefon dari Hospital Temenggong, Kulai pada pukul 7.30 pagi semalam.
Sehubungan itu katanya, polis menahan enam lelaki berusia antara 22 hingga 33 tahun dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 8 hingga 9.15 malam pada hari sama.
“Kesemua suspek itu ditahan di kawasan Indahpura, Kulai sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek berada di bawah pengaruh alkohol dan salah seorang daripada mereka dipercayai merupakan ahli kongsi gelap Geng 04 berdasarkan tatu di badannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow turut memberitahu, pemeriksaan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mencari senjata parang yang digunakan suspek dalam pergaduhan itu selain mengenal pasti punca kejadian.
“Kesemua suspek kini dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Kulai,” jelasnya.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 48 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.








