Polis panggil tujuh individu sebar maklumat PKPD - Utusan Malaysia

Polis panggil tujuh individu sebar maklumat PKPD

KAWASAN Perindustrian Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tujuh individu termasuk penjawat awam dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung kes penyebaran maklumat cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Ayer Keroh yang turut tular dalam laman media sosial, awal bulan ini. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 45 tahun itu dipanggil sejak 6 Julai lalu selepas polis menerima dua laporan berhubung penularan maklumat itu. 

“Kita menerima laporan polis berkenaan penyebaran maklumat sulit cadangan pelaksanaan PKPD di Ayer Keroh yang telah menimbulkan keresahan dan kegentaran penduduk di kawasan tersebut. 

“Susulan itu, kertas siasatan dibuka dan polis memanggil tujuh individu termasuk penjawat awam dipercayai terlibat untuk memberi keterangan berhubung kes itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di empat taman perumahan terbabit merayu supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) melihat semula cadangan untuk melaksanakan PKPD di situ.

Ujar Afzanizar, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, salah satu laporan tersebut telah dibuat oleh kerajaan negeri di Balai Polis Ayer Keroh pada Selasa lalu. 

“Penyebaran maklumat itu telah menyebabkan kebimbangan orang awam cukup tinggi sehinggakan kerajaan terpaksa memikirkan kaedah lain untuk melaksanakan PKPD.

“Pada awalnya, cadangan tersebut dibuat bagi mengawal penularan kes Covid-19 yang aktif di kawasan tersebut membabitkan kluster industri,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, penyebaran maklumat itu menimbulkan keresahan kira-kira 15,000 penduduk di empat taman perumahan di Ayer Keroh sehingga ada yang bertindak menahan bas pekerja hanya kerana bimbang terdapat warga asing cuba melarikan diri ke lokasi lain.

Katanya, kini pihak kerajaan negeri hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersasar di kawasan perindustrian tersebut bagi mengawal penularan lima kluster aktif Covid-19 di situ. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN