Polis lepaskan tembakan, suspek edar dadah cuba melarikan diri - Utusan Malaysia

Polis lepaskan tembakan, suspek edar dadah cuba melarikan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa terpaksa melepaskan tembakan terhadap sebuah kenderaan selepas pemandunya cuba melarikan diri apabila ditahan polis di Taman Bayu Mas, Cheras di sini pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3.05 petang itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman cuba menahan kereta jenis Toyota dipandu seorang lelaki di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, suspek dipercayai enggan memberikan kerjasama sebelum melarikan diri dengan memecut kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, susulan daripada tindakan suspek tersebut, pasukan polis telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaannya.

“Suspek kemudiannya berjaya meloloskan diri namun dikejar pihak polis.

“Lelaki itu berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian. Siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah oleh JSJN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zaid berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi menjalankan siasatan.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai terdekat.

“Atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp Muhammad Azrul Nizam Zainal di talian 016-9985730,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN