ALOR SETAR: Polis mengambil keterangan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bagi membantu siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, beliau telah memberikan keterangan kepada polis, di sini semalam.
“Saya ucapkan terima kasih kepada polis kerana melayan saya dengan baik di sepanjang proses mengambil keterangan itu.
“Dalam masa sama, saya juga minta supaya semua pihak berkaitan untuk turut memberi keterangan jika diminta polis.
“Saya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan dan perkara ini tidak mengganggu urusan saya untuk terus memberi khidmat kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir pada Isnin lalu mengesahkan bahawa polis telah membuka kerta siasatan terhadap Mahfuz kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 baru-baru ini.
Siasatan itu dibuat berikutan tularnya gambar Mahfuz yang didapati berkumpul bersama beberapa individu lain serta tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan bantuan di Kampung Alor Gandak, dekat sini, Jumaat lalu.
Mengulas lanjut Mahfuz berkata, beliau juga bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa sekiranya diperlukan bagi melengkapkan siasatan pihak berkuasa.
“Tak perlu layan saya sebagai kluster kayangan. Saya sebagai rakyat biasa perlu bantu mereka untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Sementara itu Ahmad Shukri memaklumkan, sehingga kini, seramai 13 individu termasuk Mahfuz telah diambil keterangan berhubung perkara tersebut semalam. – UTUSAN ONLINE










