PN tidak hormat Agong - Aziz Bari - Utusan Malaysia

PN tidak hormat Agong – Aziz Bari

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan tidak menghormati kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  sehingga Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen.

Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, apa yang penting daripada kenyataan tersebut adalah komitmen Seri Paduka kepada konsep Raja Berperlembagaan.

“Rakyat berhak untuk berasa dukacita atas apa yang dilihat sebagai kekecohan ekoran pembatalan secara tiba-tiba Ordinan Darurat di Dewan Rakyat tiga hari lalu.

“Dan hari ini, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan rasa dukacita atas apa yang berlaku di Parlimen pada hari berkenaan.

“Bagaimanapun, baginda kecewa dengan sikap kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

“Sebagai Raja Berperlembagaan, baginda ada peranan dan tidak harus diketepikan begitu sahaja.

“Agak jelas bahawa pentadbiran PN di peringkat persekutuan tidak menghormati kedudukan dan peranan Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, dengan itu amat wajar bagi Parlimen untuk mengizinkan usul percaya (motion of confidence) dikemukakan apatah lagi dalam keadaan majoriti kerajaan ini masih belum diselesaikan.

“Oleh itu, kita berharap Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak lagi mencari helah untuk menyekat usul berkenaan dan tidak harus menyalahgunakan kuasa mengendalikan mesyuarat untuk menyekat rutin perlembagaan,” katanya.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Istana Negara dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lepas tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN