Pintu sempadan ditutup, ejen nikah Siam menganggur

Pintu sempadan ditutup, kemewahan hidup ejen nikah Siam tinggal kenangan

SEORANG ejen perkahwinan Thailand meluahkan rasa selepas hilang sumber pendapatan selepas pintu sempadan negara ditutup sejak tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Daripada mampu menja­na pendapatan puluhan ribu, kini ada dalam kalangan ejen atau ‘orang tengah’ yang berperanan menguruskan perkahwinan pasangan di Thailand menganggur selain terpaksa me­lakukan kerja-kerja kampung selepas hilang sumber pendapatan.

Mereka hilang pelanggan selepas pintu sempadan negara ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih setahun lalu sekali gus menyebabkan urusan pernikahan pasangan di negara jiran tersebut tertangguh.

Seorang bekas ejen yang enggan mendedahkan namanya ber­kata, bayaran yang dikenakan terhadap pasangan terbabit adalah sekitar RM3,000 sehingga RM5,000 termasuk penginapan sepanjang beberapa hari di negara tersebut.

Katanya, lazimnya dia berperanan sebagai pemudah cara sehinggalah proses mendapat­kan surat pengesahan dari Konsulat Malaysia di Thailand selepas urusan selesai.

“Sejak pintu sempadan ditutup sehingga kini masih tidak ada urusan perkahwinan di Thailand menyebabkan pendapatan kami juga terjejas teruk. Dahulu, jika dapat lima hingga 10 pasangan setahun, pendapatan sudah mencecah lebih RM50,000 atau lebih.

“Mahu tidak mahu kami terpaksa melakukan pekerjaan lain termasuk kerja-kerja kampung bagi mencari pendapatan dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Sehingga kini, seorang pe­langgan pun sudah tidak ada dan berharap pintu sempadan dapat dibuka secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin akhbar ini mela­por­kan, pandemik Covid-19 yang sudah memasuki tahun kedua menyebabkan pasa-ngan yang ingin berpoligami ‘mati kutu’ kerana pelaksanaan PKP dan pintu sempadan yang masih ditutup.

Malah, pihak terlibat dengan pernikahan di selatan Thailand yang menjadi tumpuan mereka dari seluruh negara untuk bernikah di negara jiran juga tidak membenarkan upacara nikah dijalankan secara dalam talian.

Keadaan itu turut menyebabkan ejen nikah Siam yang sebelum ini menguruskan pasangan termasuk kalangan artis, orang politik, ahli perniagaan dan orang biasa terjejas mereka ke­ra­na ketiadaan ‘pelanggan’.

Tambah ejen tersebut, se­panjang membantu memudah cara perkahwinan pasangan yang berkahwin di Thailand itu, mereka mengikut semua syarat yang ditetapkan sehingga pro­ses tersebut selesai.

“Sebelum ini kami banyak menguruskan pasangan-pasa­ngan dari luar negeri ini khususnya Kuala Lumpur. Mereka akan datang ke Perlis dan kita uruskan semuanya.

“Kita akan sediakan daripada segi pengangkutan, makan, penginapan dan pelbagai kemudahan lain sehinggalah pasangan terbabit kembali ke negara ini dalam tempoh beberapa hari. Rata-rata yang berkahwin di Thailand ini adalah disebabkan berpoligami tan­pa pengetahuan isteri pertama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN