KUALA TERENGGANU: Lima petugas barisan hadapan kesihatan Terengganu di samping jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang dianugerahkan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk, berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Isa@Ghazali Endut berkata, pengurniaan bintang-bintang darjah kebesaran negeri 2021 itu mendapat perkenaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Katanya, mendahului senarai itu ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus di samping Pakar Perunding Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Ahmad Kashfi Ab. Rahman; Pakar Perunding Anesthesiologi & Intensivist HSNZ, Dr. Mohd. Ridhwan Mohd. Noor; Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Kasemani Embong dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Primer)/Ketua Bilik CPRC Covid-19 negeri, Dr. Hasnan Arwit@Hassan.
Menurutnya, turut menerima darjah kebesaran sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Azri Sani Mazlan; Pengerusi Eksekutif Hours Intertrade (M) Sdn. Bhd., Md. Nor Ismail; Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Mohamad Zahari Harun dan Pengarah Urusan Arup Jururunding Sdn. Bhd., Ir Wan Anuar Wan Endut.
“Darjah kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pula diberikan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
“Istiadat pengurniaan akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan Tuanku menzahirkan ucapan tahniah di atas penganugerahan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Isa@Ghazali, bagi darjah kebesaran Setia Mahkota Terengganu (SMT) penerimanya ialah Pakar Patologi HSNZ, Dr. Fatimah Haslina Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Primer)/Ketua Bilik CPRC negeri, Dr. Azmani Wahab; Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr. Saifur Rahman Muhammad dan Pengarah Hospital Hulu Terengganu, Dr. Mohamad Yurzi Mat Rani@Ghani.