KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerima sebanyak 95,561 permohonan bantuan zakat sepanjang tahun lalu, berbanding 33,537 permohonan pada 2019.
Statistik tersebut menunjukkan jumlah rakyat negeri ini yang memohon bantuan zakat meningkat lebih dua kali ganda atau hampir mencecah 185 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Difahamkan, kira-kira 80 peratus daripada permohonan tersebut diluluskan manakala selebihnya ditolak selepas dinilai dari segi kelayakan serta faktor-faktor lain namun dipertimbangkan untuk rayuan.
Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab. Rahman berkata, daripada 95,561 permohonan tahun lalu, 38,902 permohonan diterima menerusi Bantuan Prihatin Online yang dilancarkan pihaknya selepas Covid-19 menular di negeri ini.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini pula kata beliau, Maik sudah menerima 23,512 permohonan dengan 18,678 permohonan atau 79 peratus daripadanya diluluskan.
“Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli sekatan pergerakan penuh, didapati berlaku pertambahan permohonan bagi bantuan am dan bantuan hari raya iaitu sebanyak 42.97 peratus.
“Peningkatan ini berlaku kerana ramai rakyat terkesan, termasuk hilang pekerjaan atau punca pendapatan dalam tempoh tersebut, ekoran penularan Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Zulkifle berkata, bagi tempoh sama, permohonan bantuan melanjutkan pelajaran di pelbagai institusi, bantuan persekolahan dan bantuan khusus untuk institusi sekolah pondok dan pertubuhan didapati berkurangan sebanyak 26.53 peratus.
Beliau dalam pada itu memberitahu, bagi menampung peningkatan mendadak jumlah permohonan bantuan zakat, pelarasan bersesuaian akan dibuat termasuk menggunakan peruntukan dijangka tidak habis dibelanjakan terlebih dahulu.
Sehubungan itu katanya, Maik memperkasakan lagi fungsi dan peranan masjid bandar jajahan dan mukim terutamanya bagi mengagihkan bantuan kepada golongan asnaf yang terkesan akibat pandemik itu.