Perkukuh kerjasama pakar-pakar kesihatan, ekonomi, sosial - Utusan Malaysia

Perkukuh kerjasama pakar-pakar kesihatan, ekonomi, sosial

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial bagi mendapatkan maklum balas dan menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam yang sedang dilaksanakan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataaan memaklumkan, kerjasama itu juga bagi melihat kembali strategi pengurusan pesakit di hospital dan pemberian vaksin kepada populasi di negara ini.

“Penglibatan kumpulan profesional terutamanya pakar-pakar kesihatan awam dan ekonomi dalam pengurusan pandemik Covid-19 adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul.

“Kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19. Justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat serta inklusif.

“Bagi memastikan kelancaran pelan pemulihan ini, Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan dilantik sebagai sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaras usaha-usaha kementerian dan agensi yang terlibat secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan PPN,” katanya kenyataan itu semalam.

Jelas kenyataan itu, mesyuarat pertama JKKPPN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diadakan secara sidang video dan jawatankuasa itu berfungsi memantau pelaksanaan strategik dan bantuan di bawah PPN bagi memastikan Malaysia mampu keluar daripada kemelut Covid-19 secara berfasa dan sistematik, mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas.

Mesyuarat berkenaan disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, Mesyuarat Kabinet juga bersetuju melantik Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi PPN yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN