KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran bertanggungjawab sepenuhnya bagi mencerminkan bahawa Perdana Menteri mengambil tanggungjawab atas apa yang dilakukan atas nama kerajaan.
Ia selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan sangat dukacita terhadap pembatalan Ordinan Darurat tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, selain membelakangi kuasa Yang di-Pertuan Agong, ia juga mengelirukan Dewan Rakyat.
Jadi katanya, Perdana Menteri perlu perlu digantikan dengan calon yang lebih amanah dan berwibawa.
“Pembatalan Darurat yang dibuat sebelum perkenan Al-Sultan Abdullah mencabar dan membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Ternyata perbuatan seumpama ini adalah satu bentuk penderhakaan kepada Yang Dipertuan Agong dan penipuan sekali gus menyebabkan kekeliruan di dalam Dewan Parlimen yang mulia,” katanya di sini hari ini.
Semalam Sekretariat NGO Pemuda UMNO dan beberapa NGO membuat laporan polis berhubung pembatalan ordinan darurat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini. – UTUSAN ONLINE