SEREMBAN: Golongan penternak di Negeri Sembilan meminta supaya pihak berwajib memberikan kelonggaran supaya ibadat korban dapat dilakukan di ladang-ladang ternakan yang diusahakan mereka.
Ini bagi membolehkan mereka tidak rugi lebih teruk selepas ibadat korban diputuskan tidak dibenarkan di negeri ini bagi sambutan Aidiladha tahun ini.
Seorang penternak lembu dan kambing, Maarif Maarof, 64, berkata, sekiranya kelonggaran itu diberikan, golongan penternak bersedia untuk melaksanakan aktiviti korban dan penyembelihan ternakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk dengan jumlah kehadiran petugas yang minimum di ladang.
“Pihak berkuasa tidak mahu orang ramai berkumpul ketika melaksanakan ibadat korban, jadi kalau buat di ladang kami yakin SOP dapati diikuti, kami juga tidak akan benarkan orang awam datang ke sini secara beramai-ramai.
“Apa yang yang penting adalah kita dapat jaga penjarakan fizikal. Bagi seekor lembu, ia boleh diuruskan dengan minimum enam orang petugas sahaja termasuk untuk proses melapah dan membungkus.
“Jika alasan proses pengagihan daging korban itu nanti boleh menyebabkan penyebaran jangkitan, apa bezanya dengan program sumbangan makanan yang banyak dilakukan ketika ini?” katanya.
Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan (PURNS) berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di ladang ternakannya di Mambau dekat sini, semalam.
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dalam kenyataannya semalam memaklumkan ibadat korban di seluruh negeri ini pada tahun ini adalah tidak dibenarkan selepas syor dan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid Negeri Sembilan dan MKN.
Ketetapan tersebut diambil sebagai menyahut nasihat kerajaan agar semua bentuk aktiviti berkumpulan dikawal bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 ini.
Sementara itu, jelas Maarif, dia telah mengeluarkan modal sehingga RM150,000 bagi membawa masuk stok ternakan lembu pada bulan Februari lalu bagi persediaan tempahan oleh pihak yang berhajat termasuk masjid dan surau yang mahu melaksana dan menjalankan ibadat korban kali ini.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran KRS Agrotech Sdn. Bhd., Mohammad Yusoff Khalili Mohammad Ssunaibari, 34, juga berkata, pihaknya berharap adanya pertimbangan oleh pihak berkuasa supaya ibadah korban dapat juga dilaksanakan.
“Kami memohon pertimbangan agar pelaksanaan ibadah korban dpaat dibenarkan dengan syarat yang ditetapkan. Sekiranya dibenarkan kami akan menyediakan pekerja yang terlatih untuk aktiviti penyembelihan di ladang ternakan.
“Selain itu, bagi mengelakkan penerima berkumpul kami akan mengedarkan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan urusan pembahagian daging korban pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN