Penghadang konkrit 'lorong tikus' dialih untuk rentas daerah - Utusan Malaysia

Penghadang konkrit ‘lorong tikus’ dialih untuk rentas daerah

MULKIAMAN Manzar (kanan) meninjau salah satu lorong tikus yang ditutup dengan penghadang konkrit di Kampung Bukit Tembaga, Kuala Nerang, Padang Terap. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG: Polis Padang Terap kecewa dengan tindakan individu tertentu bertindak mengalihkan penghadang konkrit yang diletakkan di lorong-lorong tikus untuk memastikan orang ramai tidak merentas daerah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Malah polis mengesan tiga kali penghadang konkrit itu dialihkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab di Kampung Bukit Tembaga di sini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, lorong tikus tersebut menghubungkan dua daerah iaitu Pokok Sena di daerah Kota Setar dan Perik di Kubang Pasu.

Pihaknya sebelum ini menutup empat lorong tikus di daerah itu yang menjadi laluan orang ramai untuk merentas daerah.

Katanya, antara kawasan terbabit adalah tiga di Bukit Tembaga dan satu di Jalan Perik di Kubang Pasu yang ditutup dengan penghalang konkrit.

“Saya kesal terdapat individu yang cuba mengalihkan penghadang konkrit berkenaan untuk merentas daerah.

“Tindakan itu boleh mengakibatkan berlaku penularan Covid-19 dan kita tak mahu kejadian ini berlaku lagi selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di lokasi lorong tikus di Jalan Kampung Bukit Tembaga di sini hari ini.

Mulkiaman berkata, pihaknya juga mengadakan tiga sekatan jalan raya (SJR) iaitu di sempadan Pokok Sena-Bukit Tembaga, Jalan Perik-Kubang Pasu dan Ops Benteng Durian Burung.

Ketika melakukan tinjauan itu, katanya, seorang lelaki berusia 48 tahun dikompaun RM5,000 kerana melakukan pergerakan merentas daerah dari Kubang Pasu ke Padang Terap menggunakan lorong tikus di kampung itu pada pukul 11.30 pagi.

Jelasnya, lelaki itu memandu kereta jenis Mazda memberi alasan datang ke daerah ini untuk bertemu rakannya dan mengambil bekalan kelapa dengan menunjukkan surat kebenaran polis yang menggunakan nama individu lain.

“lelaki tersebut dikompaun mengikut Seksyen 22(b) Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPB)(1988) dan Peraturan 17 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN