PENDANG: Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital negeri ini yang masih melebihi tahap 80 peratus, menjadi satu-satunya penghalang kepada Kedah untuk memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, nilai ambang untuk dua lagi indikator bagi peralihan fasa iaitu kadar vaksinasi serta jumlah kes harian baharu sudah dipenuhi.
“Penggunaan katil ICU (hospital) di Kedah masih melebihi 80 peratus dan itu menyebabkan negeri ini masih tidak beralih ke fasa dua.
“Setakat ini kita kena tunggu dulu. Jika kadar penggunaan katil itu menurun ke paras 60 hingga 80 peratus, insya-Allah kita akan beralih ke fasa 2 PPN,” katanya selepas hadir ke Majlis Penyerahan Bakul Makanan Parlimen Pendang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Pendang di Kampung Gajah Mati di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Pendang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.
Sementara itu, Mohd. Hayati berkata, peningkatan kes di negeri ini kebelakangan ini berpunca daripada pertambahan ujian saringan yang dilakukan secara menyeluruh terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Kebanyakannya datang dari kawasan kilang. Ketika ini terdapat dua lokaliti di Sungai Petani dan kita memang menjalankan ujian saringan secara menyeluruh di situ,” katanya.
Ditanya mengenai jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Mohd. Hayati berkata, secara keseluruhannya beliau dimaklumkan keadaan terkawal. – UTUSAN ONLINE










