PETALING JAYA: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM150 bilion dilihat sebagai bantuan yang menyeluruh kepada rakyat terutamanya peniaga-peniaga.
Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, pakej tersebut memberi sokongan ketika sumber daya saing dan aliran tunai dalam komuniti perniagaan dan industri berada pada tahap yang sangat rendah.
“Geran Khas Prihatin (GKP) dan Program Subsidi Upah (PSU) yang dilanjutkan tempoh dan diluaskan skop telah memberi impak yang tinggi.
“Setakat ini, kesemua pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan telah berjaya dan memberi manfaat kepada 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan selain menjadi benteng pertahanan ekonomi negara dan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, jelasnya, komuniti perniagaan dan industri tidak boleh mengharapkan kerajaan untuk terus menghasilkan pakej rangsangan.
Abdul Malik memberitahu, cara terbaik untuk menguruskan pandemik itu adalah dengan memfokuskan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan mempercepat pembukaan semua sektor ekonomi dan sosial selari dengan usaha yang sedang dijalankan untuk mencapai tahap vaksinasi yang tinggi.
Sementara itu, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Datuk Ter Leong Yap berkata, pakej Pemulih datang tepat pada masanya dan memberikan kelegaan yang sangat diperlukan serta bantuan kewangan untuk mengurangkan beban kewangan isi rumah, individu, dan perniagaan-perniagaan.
“Pemulih merupakan bantuan yang komprehensif kepada semua kumpulan yang terkesan teruk susulan pandemik Covid-19.
“Kami berharap langkah-langkah itu dapat dilaksanakan dengan baik dan bantuan kewangan diberikan dengan cepat bagi mencapai hasil yang diinginkan,” katanya.
Walaupun begitu, Leong Yap memberitahu, pihaknya berharap moratorium pinjaman automatik selama enam bulan tanpa syarat dapat diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan (MTC) yang terjejas oleh pandemik itu dan tidak dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Tambahnya, pihaknya turut berharap Menteri Kewangan dapat mempertimbangkan bayaran ansuran cukai bulanan untuk CP204 (Sdn. Bhd.) dan CP500 (individu) sehingga hujung tahun ini bagi meringankan aliran tunai perniagaan. – UTUSAN ONLINE