PETALING JAYA : Pas mengesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang kerana didakwa memutarbelitkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga menghina nama Allah.
Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, provokasi dan penghinaan kepada Islam yang dilakukan pemimpin DAP itu adalah keterlaluan dan sangat melampau serta sekiranya tidak berpuas hati terhadap kerajaan, ia tidak wajar dikaitkan dengan sensitiviti agama Islam.
“Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam adalah agama bagi negara Malaysia dan tindakan yang melanggar perlembagaan dan menyentuh sensitiviti umat seperti ini akan mengeruhkan lagi keharmonian antara kaum yang sedia ada di Malaysia.
“Sekiranya benci kepada pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekalipun usah biadab sehingga meletakkan kelemahan pemerintahan itu kepada Tuhan umat Islam pula kerana lemah adalah sifat mustahil bagi Allah. Sepatutnya beliau lebih berhati-hati dalam menuturkan pandangan kerana ini berkait dengan soal akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kit Siang didakwa memuat naik satu kenyataan bahasa Inggeris dalam laman Facebooknya yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
Beliau menulis, ‘If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be ‘Allah’s government’,”.

Abdul Hadi sebelum itu menerusi catatan dalam Facebooknya memberitahu, pandemik Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya ‘Kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna’ boleh menghapuskan virus itu.
Kamaruzaman berkata, perbuatan Kit Siang itu dilihat cuba menghasut dan menanamkan kebencian kepada kerajaan sekali gus menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan beliau boleh didakwa di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948.
“Pas yang meletakkan Islam sebagai dasar teguh istiqamah mempertahankan kesucian Islam dan perpaduan ummah daripada dihina dan dicerca oleh mana-mana pihak. Justeru itu, kebiadaban yang telah berkali-kali berlaku mesti dihentikan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE