‘Papa pesan jaga adik, opah baik-baik’ - Utusan Malaysia

‘Papa pesan jaga adik, opah baik-baik’

MUHAMMAD Syahmil Sabiha (tengah) bersama Nur Haniesya (kiri) menunjukkan gambar ibu dan bapa mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini. Kedua-dua mereka kini tinggal bersama nenek di Felda Palong 8, Jempol. - UTUSAN/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Dua beradik, masing-masing berusia 12 dan lapan tahun, di Felda Palong 7 dekat sini menjadi yatim piatu selepas ibu dan bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Muhammad Syahmil Sabiha dan adiknya, Nur Haniesya Sabiha kini tinggal bersama nenek mereka, Salmah Abdul, 69, selepas bapa mereka, Sabiha Ibrahim, 38, meninggal dunia pada 28 Jun lalu di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Ia selang dua minggu selepas ibu mereka, Hazliza Hassan, 38, meninggal dunia di Hospital Jempol pada 14 Jun lalu.

Menurut Salmah, sebelum disahkan positif Covid-19, anaknya, Hazliza dan menantunya itu menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah buah pinggang.

“Pada mulanya anak saya, Hazliza sudah beberapa kali berulang-alik ke Hospital Jempol kerana masalah kandungan yang dialami. Namun, beberapa hari selepas pulang ke rumah dia mengalami sesak nafas dan kami menghantarnya semula ke hospital sebelum meninggal dunia keesokan harinya.

“Saya dan ahli keluarga lain agak terkejut setelah dimaklumkan, arwah meninggal dunia kerana positif Covid-19. Sejurus selepas selesai pengebumian, kami diminta untuk membuat ujian calitan dan kemudian saya, menantu dan dua cucu akhirnya turut disahkan positif Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Palong 8 di sini hari ini.

Salmah memberitahu, mereka kesemua dibawa ke pusat kuarantin di Kuala Pilah bagaimanapun Sabiha kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol setelah keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

“Tidak lama selepas itu, saya mendapat makluman daripada salah seorang saudara kami, keadaan Sabiha semakin kritikal dan terpaksa ditidurkan. Sebelum ditidurkan, dia sempat menelefon kepada saya dan anak sulungnya, dan berpesan supaya kami menjaga diri baik-baik, dia kemudiannya meninggal dunia tiga hari selepas itu,” katanya.

Muhammad Syahmil pula berkata, dia sempat bercakap bersama arwah bapanya melalui panggilan telefon.

“Papa kata suruh jaga opah dan adik baik-baik. Mama sudah tiada, jadi papa minta saya jaga opah dan jaga adik. Tak sangka itu kali terakhir saya bercakap dengan papa, kemudian opah beritahu papa sudah tiada lagi” katanya.

Menurut Nur Haniesya, hanya baju ibu dan bapanya menjadi tempat melepaskan kerinduan selepas pemergian ibu bapanya itu.

“Sekarang saya cuma ada abang dan opah, kalau saya rindu saya peluk baju mama dan papa. Saya pun akan bacakan surah al-Fatihah buat mereka berdua,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Palong 7 bersama abangnya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya