PETALING JAYA: “Saya serah kepada tuhan”.
Demikian ungkapan seorang pak cik yang didakwa dimalukan oleh pensohor media sosial, Carl Samsudin dalam sebuah video tular hari ini.
Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu dan menyerahkan hal yang timbul kepada tuhan.
“Jawapan itu betul, bukan tuhan mengubah kita, kita yang perlu mengubah nasib,” katanya dalam sebuah video berdurasi 12 saat.
Dalam pada itu, Carl yang didakwa memalukan gelandangan warga emas itu pada Selasa lalu menyatakan permohonan maaf secara terbuka melalui laman Instagram miliknya hari ini.
Menurutnya, dia tidak berniat menghina sesiapa dan hanya mahu membantu golongan tersebut mengubah kehidupan selain tidak terfikir ada elemen kurang baik daripada rakaman video tersebut.
“Jika ketika petikan video itu dirakam kelihatan seperti saya tidak beradab dengan pak cik tersebut, saya betul-betul mohon maaf.
“Sejujurnya sebelum, semasa dan selesai bercakap saya menyantuni pak cik berkenaan serta semua gelandangan dengan baik dan mereka semua gembira pada hari tersebut,” tulisnya dalam hantaran terbaharu akaun media sosialnya.
Tindakan ‘influencer’ itu dengan meninggikan suara kepada gelandangan warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur baru-baru ini menimbulkan kemarahan orang ramai dan netizen.
Menerusi video berdurasi 50 saat itu, tindakan lelaki tersebut mempersoalkan kepada warga emas itu menyesal kerana tidak berusaha sewaktu muda sehingga dia menjadi gelandangan disifatkan sebagai biadab dan menjatuhkan air muka warga emas terbabit.
Difahamkan individu tersebut hadir bersama beberapa orang rakannya ke pusat transit berkenaan bagi memberi bantuan dan kemudian mengambil kesempatan menyampaikan motivasi kepada gelandangan.