PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semua ahlinya bersidang di Parlimen pada 26 Julai ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, surat pemakluman tarikh mesyuarat PAC Parlimen sudah dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.
“Mesyuarat ini adakan diadakan secara fizikal membabitkan semua ahli PAC serta ahli ex-officio jawatan kuasa ini bagi membincangkan jadual mesyuarat PAC akan datang, kes-kes tertangguh dan mengemas kini jadual mesyuarat.
“Bagaimanapun, jawatan kuasa ini terbuka untuk mengadakan mesyuarat ini secara hibrid sekiranya tidak melanggar mana-mana Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan PAC lumpuh dan tidak dapat menjalankan fungsi sebagai semak dan imbang dalam meneliti perbelanjaan kerajaan dengan lima laporan maklum balas kementerian gagal dibentangkan di Parlimen.
Laporan makluman balas tersebut merangkumi pembentangan Laporan Sekolah Sukan Malaysia Perlis (Kementerian Pendidikan), Laporan Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) (Kementerian Pengangkutan) dan Laporan Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Kementerian Wilayah Persekutuan).
Antara lain, Laporan Aktiviti Kawalan Pekerja Asing di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Laporan PAC Parlimen Ke-14 berhubung Pengurusan Educational Malaysia Global Services (EMGS) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak dapat dibentangkan maklum balas berikutan penggantungan Parlimen selaras di bawah Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, sebanyak 15 mesyuarat PAC bagi tahun ini melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kewangan dan beberapa agensi kerajaan tertangguh kecuali Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang statusnya masih berjalan.
Prosiding terakhir PAC adalah pada 5 Januari 2021 berhubung perolehan vaksin Covid-19 manakala prosiding lain terpaksa ditangguh.
Terdahulu, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana RM5 bilion daripada dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – UTUSAN ONLINE