MARAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan 64 lelaki atas pelbagai kesalahan dan merampas dadah jenis heroin, syabu serta ganja selepas menggempur ‘port’ atau sarang penagihan dadah di ladang Felda Jengka 16, di sini semalam.
Daripada 64 lelaki berkenaan, 62 orang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, menerusi Op Sarang Khas dua hari yang berakhir semalam itu, polis menggempur ‘port’ dadah terbesar di Felda Wilayah Jengka.
“Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 57 tahun, majoriti suspek merupakan buruh ladang sawit dari Felda berhampiran seperti Felda Jengka 17, Felda Jengka 15 dan Felda Jengka 21.
“Enam lelaki ditahan atas kesalahan pengedaran dadah berbahaya, lima orang kerana memiliki dadah dan 53 orang disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Tiga lelaki turut ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya kepada pemberita selepas Op Sarang Khas di ladang Felda Jengka 16 di sini semalam.
Op Sarang Khas itu melibatkan lapan pegawai kanan dan 41 anggota dari semua bahagian JSJN Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
Norzamri berkata, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Jengka untuk saringan Covid-19 sebelum ke Mahkamah Majistret Maran untuk perintah reman.
“Mereka juga dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhimpun tanpa sebab munasabah di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021,” katanya.
Beliau berkata, dalam masa PKP 3.0 sehingga 29 Jun lalu, polis Maran melaksanakan 60 serbuan dan berjaya membuat 52 tangkapan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“Polis komited dalam membanteras penyalahgunaan dadah khususnya di Felda Wilayah Jengka,” katanya.
Beliau menjelaskan, Op Sarang ke ‘port’ dadah akan terus dilaksanakan bagi mengambil tindakan tegas terhadap semua pengedar dan penagih yang masih bergerak aktif di daerah ini.
“Tindakan menangkap penagih dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap salah laku mereka yang terbabit dengan kes jenayah harta benda dan curi buah sawit khususnya di Maran,” katanya.










