Op Benteng: Nelayan Myanmar ditahan - Utusan Malaysia

Op Benteng: Nelayan Myanmar ditahan

SEBUAH bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika barat Pulau Jerejak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Myanmar di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika barat Pulau Jerejak di sini.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu dikesan dalam perjalanan ke sangkar ikan di Pulau Jerejak oleh bot ronda Maritim Malaysia semasa melaksanakan rondaan bersepadu Op Benteng Laut dan Op Pertiwi pukul 1.40 petang semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran sah itu dikendalikan seorang warga Myanmar berusia 26 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot itu dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dekat sini manakala kru dibawa ke pejabat Maritim Malaysia negeri bagi menjalani saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen iaitu menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai dan komuniti maritim memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

“Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di 04-2626146,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN