BALIK PULAU: Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal mendapat perhatian penduduk Kampung Jalan Bharu di sini, selepas membantu menolak kenderaan agensi itu yang tersangkut semasa Program Op Bantu hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu berlaku ketika seramai 20 anggota dan pegawai polis selesai membuat penyerahan bantuan di rumah seorang penduduk warga emas, Yusoff Dali, 85.
Van polis yang membawa sekumpulan skuad AMANITA Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya tu bagaimanapun tersekat dipercayai kerana mendapan tanah sebelum terpaksa ditolak beramai-ramai.
Kamarul Rizal yang baru memulakan tugas di IPD Barat Daya berkuat kuasa 11 Jun lalu itu turut membantu pasukannya dalam kerja-kerja menarik dan mengangkat kenderaan itu.
Tindakan beliau turut mendapat pujian anggota dan penduduk kampung berkenaan.
“Tak pernah lagi saya tengok pegawai polis sama-sama mengangkat dan menarik kereta sebegitu dan ini pertama kali berlaku di hadapan mata saya ketika berusia 85 tahun,” ujar Yusoff. – UTUSAN ONLINE









