KUALA LUMPUR: Anggota sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan bagi memberi khidmat di Zon Pengurusan Bencana (DMZ) Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, terdapat keperluan untuk membantu pegawai perubatan dan doktor serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat di hospital berkenaan.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada sukarelawan yang mempunyai kelayakan dalam bidang perubatan.
“Memang kita alu-alukan sekiranya diperlukan nanti terutama NGO atau sukarela yang berkelayakan dalam perubatan.
“Jika mereka sanggup bekerjasama beri rawatan di DMZ kita akan beri peluang dan kita sangat alu-alukan,” katanya dalam sidang akhbar sempena sesi taklimat DMZ di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










