Netizen 'berbulu', warga asing 'berseronok' di PKRC - Utusan Malaysia

Netizen ‘berbulu’, warga asing ‘berseronok’ di PKRC

TANGKAP layar klip video tular menunjukkan sekumpulan lelaki warga asing menari beramai-ramai dengan berlatarbelakangkan lagu Hindustan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Satu klip video dipercayai memaparkan sekumpulan pekerja warga asing berseronok tular di aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook sejak pagi ini yang didakwa berlaku di sebuah pusat kuarantin di negeri ini.

Video berdurasi 43 saat itu menunjukkan sekumpulan lelaki menari beramai-ramai dengan berlatarbelakangkan lagu Hindustan.

Ia mencetuskan rasa tidak berpuas hati dalam kalangan warganet yang mendakwa, kes positif di negeri ini meningkat disebabkan sikap kurang peka golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi Utusan Online bagaimanapun, menafikan kejadian itu membabitkan pesakit warga asing yang dikuarantin di negeri ini.

“Ada yang mendakwa kejadian itu berlaku di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC, Ayer Keroh.

“Hasil semakan, kejadian itu tidak berlaku di negeri ini, namun saya tidak dapat memastikan rakaman itu membabitkan pesakit di pusat kuarantin mana,” katanya.

Tambahnya, sekalipun ia berlaku di Melaka, aktiviti tersebut tidak salah, sebaliknya ia adalah satu cara digunakan pesakit untuk mengurangkan rasa tertekan selepas disahkan positif Covid-19 dan perlu dikuarantin.

Dalam pada itu, Rahmad turut mengingatkan kepada orang ramai khususnya netizen supaya tidak menyampaikan maklumat palsu atau tidak tepat terutama yang berkaitan dengan pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN