Nelayan Vietnam sanggup terjun laut elak ditahan - Utusan Malaysia

Nelayan Vietnam sanggup terjun laut elak ditahan

BEBERAPA nelayan Vietnam sanggup terjun laut bagi mengelak daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Op Kuda Laut di perairan Kuala Terengganu, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Beberapa nelayan Vietnam dari dua bot sanggup terjun ke dalam laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Operasi Kuda Laut, kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, tindakan warga asing berkenaan bagaimanapun gagal apabila mereka ditahan selepas diselamatkan di kedudukan antara 108 hingga 112 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

Katanya, aktiviti mencurigakan kedua-dua bot yang dipercayai mencuri hasil laut negara itu dikesan Pusat Operasi Maritim Terengganu (Pusop) dan kapal maritim (KM) Gemia kemudian diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemantauan.

“Apabila dihampiri KM Gemia, beberapa nelayan cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam laut bagi mengelak daripada ditahan.

“Pemeriksaan mendapati 13 kru termasuk tekong berusia antara 22 hingga 41 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan kita turut merampas hasil tangkapan, bekalan diesel dan peralatan yang dianggarkan hampir RM3 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Suffi, bot dan kru dibawa ke jeti Maritim Malaysia negeri untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN