Nelayan asing terjun laut elak dicekup - Utusan Malaysia

Nelayan asing terjun laut elak dicekup

BOT nelayan yang dirampas selepas didapati menangkap ikan di zon larangan di muara Sungai Bernam dekat Bagan Datuk. - UTUSAN/IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan dua bot nelayan tempatan Kelas A yang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di zon yang tidak dibenarkan di muara Sungai Bernam, dekat perairan Bagan Datuk hari ini.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kedua-dua bot yang peralatan menangkap ikan telah diubah suai kepada bot pukat tunda itu dikesan semasa anggota pasukan melaksanakan rondaan bersepadu Op Tanjung dan Op Pintas di perairan tersebut.

“Bot nelayan tersebut dikesan di kedudukan 0.3 batu nautika sehingga 0.5 batu nautika tenggara muara Sungai Bernam sekitar pukul 9 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shahrizan, menyedari kehadiran penguat kuasa, semua kru dipercayai warga asing bertindak nekad terjun ke laut dan berenang melarikan diri menyelusup ke dalam paya bakau sekitar muara Sungai Bernam.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan disyaki tidak mempunyai lesen penangkapan ikan dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Berikutan itu, bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (A) Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen.

Menurutnya, kedua-dua bot dirampas dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Sitiawan bagi siasatan serta tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan maklumat itu atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN