SEORANG rakan bernama Epol bercerita kepada saya macam mana dia kekal bertahan membawa Grab ketika ramai pemandu e-Hailing mengeluh kerana pendapatan terjejas.
Cerita Epol, dia menukar strategi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan tahun lalu.
Epol sebenarnya bimbang dengan risiko jangkitan Covid-19. Maklumlah, tiada siapa yang boleh menjamin tahap kesihatan penumpang yang menggunakan khidmat Grab.
“Jadi, saya tukar strategi. Daripada bawa orang, saya buat Grab Ekspres, Grab Food dan Grab Mart. Saya rasa lebih selamat dan tak berhubung langsung dengan penumpang dalam kereta,” cerita Epol kepada saya. Sementelah Epol tinggal di kawasan Putrajaya, maka dia memfokus di kawasan tersebut sahaja.
“Bayangkan berpuluh ribu orang tinggal di Putrajaya, jadi memang ramailah yang memesan Grab untuk urusan beli barang.
“Kalau hujung minggu, paling banyak pesanan adalah membeli barang dapur. Nak mudah dapat order, pagi-pagi tu saya dah terpacak depan Pasaraya Hero di Putrajaya.
“Pasar raya ni memang popular, lokasi kebanyakan orang kerajaan beli barang dapur. Jadi, tak pernah tiada order, memang ‘masyuk’ juga la bila standby di sana,” kata Epol.
Kata Epol, selain menghantar barangan keperluan harian, dia juga.menghantar makanan dan barangan.
Apa yang penting, kebanyakan pesanan memang di sekitar kawasan Putrajaya sahaja.
“Jaranglah saya keluar dari kawasan Putrajaya berbanding ketika bawa penumpang dulu yang destinasinya jauh-jauh belaka.
“Bila dah tukar strategi ini, rasa lagi seronok sebab saya berlegar dalam kawasan kejiranan saja. Nak balik rumah pun senang.
“Lagi pun tak perlu nak rasa takut bawa penumpang yang kita tak tahu sejarah kesihatan mereka,” kata Epol. Apa yang lebih menyeronokkan bila tibanya hari Jumaat.
“Bila Jumaat, biasanya saya dapat tips lebih sikit sebab ramai suka bersedekah hari tersebut.
“Ini bezanya dengan bawa penumpang. Dulu taklah kerap dapat tips. Kalau hantar barang atau makanan, ramai yang suka bagi tips.
“Pernah saya dapat tips RM50. Lega betul masa itu. Tips RM5 atau RM10 itu memang biasa dapat. Jadi rasa seronok itu lain macam,” kata Epol
Namun dalam pada seronok menukar strategi memandu Grab, Epol tak menafikan kegetiran yang terpaksa dilalui.
“Paling tak seronok bila pelanggan salah bagi alamat. Aduh, itu yang perit. Kadang-kadang sistem pandu arah pula hantar ke lokasi lain. Apa yang perlu dibuat adalah semak nota yang ditulis pelanggan. Biasanya mereka akan tulis terperinci kalau ada masalah mencari lokasi.
“Tapi sebab Putrajaya ini bandar yang tersusun, taklah susah sangat nak mencari.
“Cuma kalau kena lif rosak dan terpaksa hantar ke tingkat yang berbelas-belas itu, memang rasa nak menangislah. Tapi agaknya sebab berpeluh-peluh sampai rumah pelanggan, itu yang mereka kasihan dan dapatlah tips banyak,” kata Epol.
Satu perkara positif yang dilihat Epol ketika memfokus kepada GrabFood, GrabMart dan GrabExpress ini, dia hilang berat badan!
“Mana tidaknya, kalau dah kena panjat tangga, memang bersenam percuma sajalah. Kalau hendak kurus, …buatlah macam saya. Duit dapat, badan pun kurus…” kata Epol.










