PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan seramai 30 atlet terdiri daripada 12 lelaki dan 18 wanita akan mewakili negara ke Sukan Olimpik yang akan bermula 23 Julai ini.
Malaysia akan menyertai 10 sukan melibatkan memanah, olahraga, badminton, berbasikal, terjun, golf, gimnastik, pelayaran, menembak dan renang, dengan sebanyak 24 pingat emas ditawarkan.
Badminton paling banyak dengan lima acara iaitu perseorangan lelaki menerusi Lee Zii Jia, perseorangan wanita (Soniia Cheah), beregu lelaki (Aaron Chia-Soh Wooi Yik), beregu wanita (Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean) dan beregu campuran (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying).
Jumlah 30 atlet itu kurang dua daripada kontinjen yang beraksi di Olimpik Rio 2016 dan lebih seorang mengatasi kontinjen pada edisi 2012 di London.
“Mereka bekerja keras dalam keadaan yang sangat sukar sepanjang dua tahun ini untuk layak ke Sukan Olimpik.
“Kita hanya ada tiga minggu lagi sebelum ke pertandingan itu dan kelompok pertama atlet daripada sukan pelayaran akan bertolak pada 8 Julai ini
“Bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) akan memberikan fokus kepada persiapan akhir atlet supaya mereka boleh mencapai kemuncak prestasi di Tokyo,” kata Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria menerusi satu kenyataan semalam.