REMBAU: Seperti mana penduduk berusia 60 tahun ke atas di Lembah Klang dan masih belum lagi menerima vaksin Covid-19 yang dibenarkan datang secara ‘walk-in’ atau tanpa janji temu ke pusat pemberian vaksin (PPV), perkara itu juga diharapkan dapat diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, usaha pemberian vaksin secara ‘walk-in’ itu sangat baik dan ia jua boleh dituruti dengan penglibatan OKU supaya imuniti kelompok di Lembah Klang dapat dicapai menjelang akhir bulan depan.
“Langkah pemberian vaksin secara ‘walk-in’ ini sangat baik. Mungkin dalam keadaan ini ada yang tercicir atau terlepas pandang tak dapat janji temu dan mereka boleh datang terus ke PPV.
“Saya harap bukan hanya warga emas yang diberikan peluang berkenaan tetapi golongan OKU juga harus diberikan peluang ini,” katanya ketika melawat kanak-kanak bekas penghuni Rumah Bonda di Rumah Kanak-kanak Rembau, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh dan Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba sebelum ini memaklumkan, penduduk Lembah Klang yang berusia 60 tahun ke atas dan masih belum lagi menerima vaksin Covid-19 kini dibenarkan datang secara walk-in atau tanpa janji temu.
Beliau berkata, lokaliti berkenaan dipilih sebagai perintis sebelum inisiatif tersebut diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat. – UTUSAN