Minta bantuan China tangani pandemik Covid-19 - Anifah Aman

Minta bantuan China tangani pandemik Covid-19

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil pendekatan diplmotik bagi mendapatkan bantuan kepakaran dari China untuk membantu negara ini memerangani penularan wabak Covid-19.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata, China mempunyai pengalaman dan kepakaran menangani pandemik Covid-19 maka, Malaysia perlu memanfaatkan situasi itu untuk meminta bantuan dari China.

Beliau berkata, Malaysia harus mendapatkan bantuan doktor untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja serta kepakaran dari China untuk membantu membina hospital mega seperti yang dibina di Brunei Darussalam.

“Kementerian Luar harus meminta bantuan diplomasi bagi mendapatkan 2,000 orang doktor, jururawat dan kakitangan sokongan kesihatan lain untuk membantu petugas barisan hadapan di negara ini memerangani pandemik Covid-19.

“Justeru itu, kita harus menghantar pasukan khas untuk membincangkan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Luar itu berkata, bantuan kepakaran dari China diperlukan bagi membina hospital dengan kapasiti 5,000 katil di Kuala Lumpur dan Selangor serta 3,000 katil di Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain.

Langkah ini penting bagi memastikan sistem kesihatan awam di negara ini mampu bertahan berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Menurut Anifah, kerajaan perlu mengubah taktik menguruskan pandemik Covid-19 ini bagi mendapatkan kaedah penyelesaikan yang lebih baik.

Tambah beliau, pembinaan makmal mega juga perlu bagi membolehkan saringan besar-besaran dilakukan.

“Jika dilihat China juga berjaya memberikan vaksin kepada 14 bilion rakyatnya. Dalam tempoh yang singkat iaitu sembilan hari, China berjaya memberikan 100 juta dos vaksin kepada rakyat di republik itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Anifah mencadangkan penubuhan tiga jawatankuasa iaitu jawatankuasa perubatan, ekonomi dan keselamatan yang harus diketuai oleh pakar dalam bidang masing-masing.

Jawatankuasa ini juga harus bekerjasama dengan pakar antarabangsa bagi mencari kaedah penyelesaikan terbaik untuk menangani pandemik Covid-19 di negara ini dan seterusnya mengemukakan cadangan itu kepada menteri Kabinet berkaitan.

“Ketika ini hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja kaedah penyelesaian yang difikirkan maka, sudah tiba masanya untuk pemegang taruh tampil membantu,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis ini juga mencadangkan agar program vaksinasi sedia ada dirombak semula dengan membenarkan pasaran vaksin dilakukan secara terbuka dan tidak lagi dikawal oleh kerajaan.

“Ketika ini, hanya kerajaan yang mengawal pengagihan vaksin termasuk vaksin yang dibekalkan di hospital swasta.

“Pasaran vaksin harus dilakukan secara terbuka bagi membolehkan bekalan vaksin di negara ini dipertingkatkan dan orang ramai tidak perlu bergantung kepada hospital kerajaan untuk mendapatkan vaksin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN