PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk menarik pelaburan digital berkualiti tinggi sehingga RM50 bilion menerusi Strategi Pelaburan Digital Future5 (DIF5) bagi memacu ekonomi digital negara ke tahap lebih tinggi.
Inisiatif yang akan dilaksanakan sehingga 2025 itu dirangka berdasarkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Naib Presiden Kanan Pelaburan dan Jenama MDEC, Raymond Siva berkata, rancangan lima tahun itu memfokuskan kepada lima teras utama untuk menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital negara selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Ujarnya, secara kumulatif, MDEC sudah membawa masuk pelaburan bernilai RM345 bilion melalui Koridor Raya Multimedia (MSC) sejak 1996, sekali gus mewujudkan 184,396 peluang pekerjaan serta menarik 40 syarikat Forbes100 menjalankan perniagaan di Malaysia.
“Kita memiliki segala kemampuan dan kemudahan yang diperlukan untuk mendorong ekonomi digital Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
“Menerusi DIF5, MDEC semakin bersinergi dengan usaha dan inisiatif untuk mendorong kemajuan negara ke arah mencapai sasaran MyDIGITAL,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Raymond, lima strategi DIF5 selain pelaburan bernilai RM50 bilion adalah mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam industri digital, membawa 50 syarikat teknologi Fortune 500 dan memberikan peluang kepada lima syarikat unikorn global beroperasi di Malaysia.
“Selain itu, ia akan memberi fokus kepada lima sektor industri utama, lima teknologi utama, lima teknologi baharu muncul dan perkhidmatan perniagaan global digital,” katanya.
“Lima industri yang telah dikenal pasti sebagai pemacu utama adalah Teknologi Agrikultur, Teknologi Kesihatan, Ekonomi Digital Islam dan Teknologi Kewangan, Teknologi Pendidikan dan CleanTech.
“Kesemua industri ini diberi tumpuan untuk menjadi industri nasional yang strategik bagi pendigitalan. Ini seterusnya akan memberi kesan besar terhadap pelaburan, peluang pekerjaan dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” jelasnya.
Lebih penting katanya, saiz serta potensi yang dimiliki akan berupaya untuk menarik syarikat-syarikat global utama sekaligus membolehkan Malaysia menikmati faedah dan keuntungan menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi tempatan dan pengetahuan yang dihasilkan.
Strategi DIF5 juga akan memfokuskan pada lima teknologi utama baharu antaranya blok rantai (blockchain), dron, pengkomputeran pinggir (edge computing), realiti terlanjut (extended reality) dan robotik termaju untuk memastikan Malaysia berada di barisan hadapan dalam penyediaan teknologi digital yang pesat.
“Ini akan meningkatkan kepelbagaian ekonomi negara dan serta mengembangkan sektor ekonomi baharu dan sedia ada yang seterusnya akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperluas hubungan ekonomi domestik sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA),” tambahnya. – UTUSAN ONLINE