Mayat pemancing ditemukan orang awam - Utusan Malaysia

Mayat pemancing ditemukan orang awam

ANGGOTA Maritim Malaysia bersama JBPM membawa mayat yang ditemukan terapung ke Jeti Nelayan Kanchong Laut untuk proses pengecaman ahli keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Mayat pemancing yang dipercayai terjatuh ke laut selepas bot dinaiki dipukul ribut empat hari lalu ditemukan tengah hari tadi.

Mayat K. Thineswaran, 27, ditemukan oleh orang awam pada kedudukan kira-kira 7.1 batu nautika barat daya muara Sungai Langat, dekat sini pada pukul 12.50 tengah hari.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Komander Maritim Norihan Ngah dalam kenyataan akhbarnya berkata, sejurus selepas menerima maklumat berkenaan, pihaknya menugaskan bot Pengawal 26 yang sedang dalam operasi Carilamat ke lokasi dan menemui mayat lelaki dalam keadaan terapung.

“Mayat tersebut disyaki Thineswaran yang merupakan seorang nelayan tempatan berasal dari Banting dikatakan telah keluar ke laut tanpa memakai jaket keselamatan dengan menggunakan bot jenis pukat hanyut bersama seorang rakannya sebelum dilaporkan terjatuh ke laut akibat cuaca buruk.

“Pengawal 26 telah membawa mayat tersebut ke Jeti Nelayan Kanchong Laut bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Banting bagi tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Norihan memberitahu, pengecaman awal oleh keluarga mangsa mempercayai mayat itu adalah Thineswaran yang dilaporkan hilang di perairan Batu Laut pada 23 Julai lalu.

“Operasi Carilamat ditamatkan pada pukul 3.30 petang tadi dan Pos Hadapan Carilamat di Rumah Penginapan Persekutuan Morib juga telah dibubarkan.

“Operasi Carilamat yang diselaras Maritim Malaysia pada hari keempat meliputi keluasan 106 batu nautika persegi dengan menggunakan tujuh bot dan dua pesawat udara daripada pelbagai agensi iaitu Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut dengan sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca.

Sebarang kecemasan di perairan Selangor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim negeri di talian 03-3176 0627 atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya