Maritim Perak rampas 40 set bubu naga di perairan Pulau Talang

Maritim Perak rampas 40 set bubu naga di perairan Pulau Talang

BUBU naga yang dirampas kira-kira 3.3 batu nautika timur laut Pulau Talang Segari, dekat Lumut, Perak, semalam. - FOTO/IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak merampas 40 set bubu naga di sekitar 3.3 batu nautika timur laut Pulau Talang Segari, dekat sini tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan itu dilakukan oleh bot ronda pasukan itu ketika melakukan Op Pintas dan Op Sayong di lokasi tersebut pada pukul 1.30 tengah hari.

“Anggota yang melakukan rondaan mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, pelampung tersebut merupakan penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahrizan, kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, kesemua bubu naga yang dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM5,000 dengan anggaran RM120 seunit.

Tegasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.  

“Penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN