KUALA LANGAT: Seorang individu terkejut apabila mendapati tiada stok vaksin seperti yang didaftarkan dalam aplikasi MySejahtera, petang semalam.
Individu terbabit yang mendaftarkan penerimaan vaksin buat pekerjanya yang merupakan warganegara Filipina mendakwa, dia ke klinik itu pada pukul 5 petang selepas mendapati waktu janji temu pemberian vaksin tertera dalam MySejahtera tersebut.
Katanya, sebaik sahaja tiba di klinik yang terletak di Jalan Sultan Alam Shah, di sini, dia dimaklumkan oleh doktor bahawa tiada stok vaksin seperti yang didaftarkan.
“Saya juga diberitahu tidak memaklumkan kedatangan ke klinik pada hari itu sedangkan persetujuan untuk hadir telah disahkan seminggu lalu.
“Saya juga telah diminta untuk mendaftar semula nama pekerja saya untuk permohonan baharu,” katanya.
Disebabkan insiden terbabit, individu itu membuat satu laporan polis kerana tidak berpuas hati dan mengesyaki vaksin itu disimpan untuk tujuan tidak baik.
Laporan polis mengenai insiden itu tular dalam laman media sosial Facebook My Kuala Langat semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh ketika dihubungi Utusan Online mengesahkan menerima laporan itu dan menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE










