JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berketurunan Rohingya yang dikenali sebagai Long Tiger yang ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes mengurung bekas pekerjanya akan didakwa esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid akan dituduh di Mahkamah Majistret Tangkak, dekat sini.
Beliau berkata, lelaki berusia 35 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah.
“Kertas siasatan sudah disiapkan untuk menuduh lelaki itu di Mahkamah Majistret Tangkak esok.
“Timbalan Pendakwa Raya sudah bersetuju untuk tuduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Pada 14 Julai lalu, akhbar melaporkan Long Tiger ditahan polis dalam satu serbuan di Muar selepas disyaki mengurung seorang bekas pekerjanya yang berusia 21 tahun.
Lelaki berketurunan Rohingya itu ditahan pada pukul 9.45 malam, pada 11 Julai lalu.
Suspek berkenaan mempunyai banyak rekod jenayah lampau bersabit kes peras ugut, culik, jenayah dan rogol.