KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai pekebun ditahan bersama 22 biji durian Musang King ketika berada dalam kompartmen 175 Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di Raub, dekat sini semalam.
Lelaki berusia 42 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 ditahan kerana memasuki hutan simpan tanpa permit atau kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Lelaki itu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit, jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, lelaki terbabit melepasi dua sekatan jalan raya (SJR) selepas memberikan alasan untuk ke kebunnya bersebelahan HSK itu dan dia turut membawa geran tanah sebagai bukti.
Jelasnya, ketika ditahan, lelaki itu berada dalam kawasan HSK Batu Talam dan dia memaklumkan tidak sengaja masuk ke situ.
“Kita tidak pasti kenapa dia berada di situ sedangkan kebunnya di luar HSK Batu Talam.
“Lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan sementara motosikal serta 22 biji durian disita,” katanya di sini hari ini.
Pada Ahad lalu, penebangan pokok durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar di HSK Batu Talam dibantah sehingga menyebabkan 18 pekebun haram di kawasan itu ditahan kerana melakukan provokasi.
Pada Isnin, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun berkenaan direman namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa. – UTUSAN ONLINE










