Lebih suku juta T20, M40 perlu bantuan - Utusan Malaysia

Lebih suku juta T20, M40 perlu bantuan

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri melepaskan konvoi misi bantuan ihsan Mapim ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian di hadapan Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menganggarkan terdapat lebih suku juta individu kategori pendapatan T20 dan M40 yang sangat memerlukan bantuan.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Sani Araby Al-Kahery Abdul Alim berkata, golongan itu hanya ‘memendam perasaan’ kerana malu hendak memaklumkan kehidupan sukar mereka.

 “Insya-Allah, dalam masa terdekat, kita sedang analisis data untuk tahun ini. Tetapi secara keseluruhan, kes yang diterima adalah lebih 250,000 individu kategori T20 dan M40,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan Misi Bantuan Ihsan Mapim ke Pulau Redang dan Perhentian dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 Acara itu disempurnakan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini, yang turut melibatkan 12 aktivis Mapim.

 Ia meliputi penghantaran 1,000 kotak bantuan makanan, 500 set lampin dan 500 set susu bayi untuk lebih 700 keluarga di dua pulau itu setelah mendapat kelulusan kerajaan Terengganu.

Mengulas lanjut, Ahmad Sani berkata, kelompok T20 dan M40 itu turut memerlukan bantuan setelah muflis atau hilang kerja akibat kesan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

 “Team lapangan Mapim perlu kerja ‘ekstra’ untuk kenal pasti mereka dengan pergi siasat dan tanya jiran sebelum terus serah bantuan yang dibawa bersama ketika buat tinjauan,” katanya.

Ahmad Sany juga memaklumkan, pihaknya turut sedia membantu bekas pemandu Pos Rider yang tular ditamatkan kontrak oleh Pos Malaysia untuk berkhidmat pula sebagai Mapim Rider.

Mereka akan menerima bayaran insentif mengikut jumlah trip untuk misi tugas penghantaran bantuan kecemasan kepada ramai keluarga miskin di seluruh negara yang terputus bekalan.

 Setakat ini jelas beliau, terdapat hampir 1,000 pemandu Mapim Rider termasuk dari kalangan penghantar makanan bermotosikal yang ditugaskan menyerahkan sumbangan bantuan itu.

 “Perkhidmatan mereka ini sebenarnya lebih cepat dan memudahkan Mapim yang ada ketika kekurangan tenaga, malah pemandu ini juga disokong kami dari sudut kewangan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN