GEORGETOWN: Pulau Pinang mencapai 51.1 peratus kadar suntikan dos vaksin pertama Covid-19 setakat semalam ke arah memastikan negeri ini berjaya memutuskan rantaian pandemik berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan melipatgandakan usaha bagi mencapai sasaran populasi dewasa negeri ini memperoleh sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin lebih cepat daripada sasaran iaitu pada awal September ini.
Menurut beliau, mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri semalam juga meluluskan sebuah lagi pusat pemberian vaksin (PPV) mega iaitu di SPICE Convention Centre (SPICE CC) yang akan beroperasi bermula 1 Ogos ini dengan kapasiti 5,000 dos suntikan sehari.
Selain itu tambahnya, golongan warga emas sama ada yang telah berdaftar atau sebaliknya menerusi aplikasi MySejahtera dan belum memperoleh janji temu juga boleh mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk-in’ bermula 2 Ogos.
“Mereka boleh berbuat demikian di PPV Dewan Millenium Seberang Perai Utara); PPV SP Arena Seberang Perai Tengah) dan PPV Dewan Serbaguna Jawi (Seberang Perai Selatan).
“Bagi lokasi di SPICE CC pula bermula pada 3 Ogos khas kepada mereka yang menetap di daerah Timur Laut dan Barat Daya dan mereka perlu membawa dokumen diri khususnya kad pengenalan bagi proses pendaftaran serta imunisasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE