Lebih 1,000 jadi kumpulan pertama program saringan Covid-19 dalam komuniti - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 jadi kumpulan pertama program saringan Covid-19 dalam komuniti

JAGDEEP Singh Deo ketika meninjau pusat saringan untuk program PSC-19 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih 1,000 individu dari enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi golongan pertama menjalani ujian saringan komuniti Covid-19 secara percuma yang dijalankan kerajaan negeri menerusi Penang Saring Covid-19 (PSC-19), bermula Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, saringan berkenaan yang dijalankan di pusat saringan di Stadium Bandaraya dekat sini melibatkan individu dari DUN Padang Kota; Datuk Keramat; Sungai Pinang; Pulau Tikus; Pengkalan Kota dan Batu Lancang.

Jelas beliau, kerajaan negeri menyasarkan seramai 40,000 individu iaitu 1,000 dari setiap 40 DUN menjalani ujian saringan secara percuma menerusi inisiatif itu untuk membantu mengekang penularan Covid-19.

“Selain Stadium Bandaraya, beberapa lokasi lain di lima daerah di negeri ini dikenal pasti sebagai pusat saringan dan golongan sasar yang ingin menjalani ujian saringan ini hanya perlu mendaftar di pusat khidmat DUN masing-masing,” katanya selepas meninjau pusat saringan untuk program PSC-19 di Stadium Bandaraya di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak RM3 juta diperuntukkan khusus bagi melaksanakan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti sasaran di 40 kawasan DUN.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pendekatan itu bakal meningkatkan jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.

Menurut Jagdeep, pihaknya menjangkakan program PSC-19 yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri itu akan selesai sepenuhnya dalam tempoh 30 atau 40 hari selepas bermula.

“Ujian saringan ini membabitkan kaedah RTK-Antigen dan individu yang menjalani ujian akan memperoleh keputusan mereka dalam tempoh dua jam.

“Selepas keputusan diketahui yang mana jika ada yang positif Covid-19, langkah seterusnya akan diambil oleh Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

Tambahnya, bagi pusat saringan di Stadium Bandaraya sebanyak 20 petugas kesihatan akan menjalankan tugas dengan dipantau oleh enam doktor.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, setakat ini jumlah pendaftaran bagi penerima vaksin Covid-19 di Pulau Pinang telah mencecah sejuta individu.

“Tetapi pada masa ini hanya sekitar 17 peratus yang telah mendapat dos vaksin, jadi kita berharap jumlah mereka yang dapat divaksin juga semakin meningkat seiring dengan peningkatan pendaftaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN