Lapan beradik yatim piatu akibat Covid-19 terima pelbagai jenis bantuan - Utusan Malaysia

Lapan beradik yatim piatu akibat Covid-19 terima pelbagai jenis bantuan

ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kanan) menyaksikan penyampaian replika cek sumbangan dari Zakat Selangor kepada Nazurah Nabilah (tiga dari kiri) bersama adik-adiknya yang kehilangan ibu dan bapa serentak selepas dijangkiti Covid-19 di Bukit Beruntung,  Rawang, Selangor. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nazurah Nabilah Yajeed dan tujuh adik-beradiknya yang menjadi yatim piatu akibat Covid-19 mendapat pelbagai jenis bantuan dan perhatian khusus dari pihak kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan-bantuan yang diberikan kepada mereka adalah dari segi pendidikan dan bantuan kewangan.

Katanya, ini termasuk bantuan dari Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita cuba membantu yang terbaik dari segi masa depan anak-anak ini dari segi pendidikan seperti bantuan dari Kementerian Pengajian Tinggi iaitu PTPTN sebanyak RM500 untuk setiap adik-beradik dibuka akaun mereka.

“Begitu juga dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang akan membayar sepenuhnya sewa rumah sebanyak RM650 sebulan,” katanya kepada pemberita ketika menemui keluarga Nazurah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noriani Ahmad.

Katanya, barangan makanan dan kewangan secara one off sebanyak RM650 turut diberikan oleh LZS, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyumbang RM950 kepada keluarga Nazurah.

Pada masa sama, mereka akan turut menerima bakul makanan sebagai bantuan kecemasan secara one off sebanyak RM950 serta Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 NADMA, yang merupakan bantuan one-off RM 5,000 diberikan kepada waris si mati.

Ismail Sabri juga berjanji akan bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan untuk mempercepatkan proses pampasan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi ibu mereka.

Katanya lagi, Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju untuk membenarkan Nazurah berpindah dari tempat belajarnya iaitu politeknik di Mersing ke politeknik di Behrang supaya lebih dekat dengan adik-adiknya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan bersetuju bahawa Boustead Holdings selaku anak syarikat Kementerian Pertahanan akan mengambil semua adik-beradik Nazurah sebagai anak angkat.

“Boustead akan tanggung pendidikan mereka sehingga umur 18 tahun, apa-apa keperluan akan ditanggung.

“Walaupun bersedih, kehidupan mesti diteruskan dan kita akan bantu teruskan hidup mereka,” katanya.

Malah, katanya, adik kedua Nazurah turut ditawarkan untuk bekerja di Boustead.

“Adik keduanya yang berusia 18 tahun ada bekerja di salah sebuah syarikat tetapi kita tawar kerja dengan Boustead kerana ia ada menyediakan asrama, boleh jaga diri dan jaga adik-adiknya.

“Sebab tempat kerjanya sekarang ini agak jauh dan nak berulang susah, tetapi di Boustead kita ada asrama, jadi kita tunggu keputusan sama ada dia setuju atau tidak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya