ALOR GAJAH: Kuota vaksin dan kekangan petugas kesihatan antara faktor yang menghalang Program Mobilisasi Vaksin Kebangsaan (Movak) di Melaka bergerak pantas.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman berkata, meskipun bekalan vaksin yang diterima untuk Movak adalah konsisten, tetapi ia tetap memiliki kuota.
Jelas beliau, untuk Movak, sebanyak 300 penerima divaksin sehari atau 600 orang untuk satu-satu tempat, maka sasaran tidak boleh lebih daripada itu.
“Jika proses vaksinasi melalui Movak terlalu pantas, dikhuatiri ia tidak dapat memenuhi sasaran harian yang lebih tinggi. Kalau dapat lebih, kita boleh perbanyakkan vaksinasi supaya jumlah rakyat yang menerima juga bertambah, sekaligus mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok lebih awal.
“Kekurangan kakitangan kesihatan juga mempengaruhi perjalanan program ini. Hanya 20 orang daripada 100 petugas Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Machap Jaya merupakan petugas kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ismail menambah, seramai 3,350 penduduk di kawasan luar bandar telah dan akan menerima manfaat daripada Movak. – UTUSAN ONLINE










