KPDNHEP rampas 112,350 pelitup muka Neutrovis palsu - Utusan Malaysia

KPDNHEP rampas 112,350 pelitup muka Neutrovis palsu

ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP menyerbu salah satu lokasi penyimpanan pelitup muka palsu selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagang di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor  merampas 112,350 unit pelitup muka yang bernilai RM60,669 dalam tiga serbuan  di bandar raya ini, semalam.

Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, operasi bermula pukul 2 petang itu dijalankan di sekitar Taman Sentosa dan Tebrau, di sini selain mengambil keterangan lima pekerja bagi membantu siasatan.

“Dalam operasi berkenaan, 10 pegawai dan anggota bersama wakil pemilik cap dagang iaitu Neutrovis membuat pemeriksaan ke atas tiga premis berbeza berikutan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang berkenaan.

“Menerusi serbuan itu, KPDNHEP merampas sejumlah 112,350 unit pelitup muka yang disyaki tiruan bernilai keseluruhan RM60,669.

“Kesemua premis itu disyaki menjadikan rumah sebagai tempat menjalankan aktiviti penyimpanan serta pengedaran stok bagi kesemua pelitup muka yang dirampas,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Hairul Anuar berkata, tindakan berkenaan diambil di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan bagi tujuan perdagangan.

“Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda RM250,000 bagi syarikat manakala bagi individu boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN